Dua Projek RTP Bakal Tingkatkan Kemudahan Asas Penduduk Sebuyau
SEBUYAU: Masyarakat di Daerah Sebuyau bakal menerima manfaat besar apabila dua projek pembangunan baharu di bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bersiap untuk dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan tersebut.
Penyerahan projek siap telah dilakukan oleh Ketua Masyarakat kepada pihak kontraktor dan disaksikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak yang diwakili Fazillah Zahid dan disaksikan oleh wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Tahir Putih pada Khamis.
Projek yang terlibat dalam lawatan serah tapak tersebut ialah pembinaan baharu Jeti Kampung Tebelu Hilir dengan kos siling berjumlah RM100,000 yang akan menyediakan kemudahan jeti baharu yang lebih selamat dan selesa untuk penduduk setempat khususnya bagi aktiviti perhubungan air dan logistik harian.
Manakala projek kedua ialah naik taraf perparitan Kampung Baru Sebuyau dengan kos siling berjumlah RM200,000 yang mana projek naik taraf sistem perparitan ini bertujuan meningkatkan kecekapan saliran air selain mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku ketika hujan lebat.
Lawatan serah tapak tersebut turut bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta menepati keperluan sebenar penduduk setempat.
Dalam sesi berkenaan, pegawai DID turut mengadakan taklimat teknikal kepada kontraktor melibatkan skop kerja, garis masa pelaksanaan serta pematuhan standard keselamatan.
Pihak DID menegaskan bahawa pelaksanaan projek-projek RTP ini adalah komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui infrastruktur asas yang lebih baik.
Kedua-dua projek berkenaan dijangka memulakan kerja dalam masa terdekat selepas penyelarasan teknikal diselesaikan sepenuhnya.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ketua-ketua masyarakat kampung terlibat serta wakil kontraktor yang dilantik.-EDISI UKAS