ADUN Opar Harap Peruntukan Sistem Saliran & Pengairan Padi Diperluas ke Kawasannya
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berharap sebahagian peruntukan bagi pembangunan sistem saliran dan pengairan padi di Sarawak dapat turut disalurkan ke kawasan DUN Opar untuk menyokong usaha meningkatkan hasil pertanian dan kesejahteraan pesawah setempat.
Menurutnya, sebanyak tujuh sawah padi di bawah konstituensi beliau telah dikenalpasti oleh Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) memerlukan kerja-kerja penambahbaikan khususnya sistem saliran dan pengairannya.
“Sawah padi di Kampung Jangkar merupakan sawah padi yang paling besar dengan keluasan lebih kurang 900 hektar dan saya sangat berharap sekiranya pihak Kementerian terlibat dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak Sarawak (SLDB) dapat menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk mengusahakan sawah yang luas ini agar dapat menampung keperluan beras Sarawak.
“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sedang membuat kajian survey dan reka bentuk bagi sawah padi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.
Sementara itu katanya, enam lagi sawah padi adalah di Kampung Jugan, Kampung Tebaro, Kampung Sedaing, Kampung Rukam, Kampung Sebako dan Kampung Biawak turut memerlukan penambahbaikan.
“Saya berharap agar agensi perlaksana bagi projek ini dapat mempercepatkan kerja-kerja reka bentuk dan tender bagi kesemua projek ini kerana penghasilan beras yang mencukupi adalah sangat penting untuk mencapai keterjaminan makanan di Sarawak,” tegasnya.
Untuk rekod, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa membentangkan RUU Perbekalan (2026), 2025 pada Isnin lalu menjelaskan RM20.4 juta daripada belanjawan Sarawak akan dikhususkan untuk tujuan infrastruktur pengairan dan saliran padi. -EDISI UKAS