Sri Aman & Betong Tuan Rumah Bersama SUKSAR IV 2026
KUCHING: Sri Aman dan Betong akan menjadi tuan rumah bersama bagi penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, sekali gus menandakan permulaan fasa persiapan rapi untuk temasya sukan terbesar peringkat zon di Sarawak.
Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Induk telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu pada Khamis.
Dalam mesyuarat itu, penganjuran SUKSAR IV dicadangkan akan berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 Februari 2026 dengan Betong dipilih sebagai lokasi majlis perasmian, manakala Sri Aman akan menjadi tuan rumah bagi majlis penutupan.
Pemilihan kedua-dua venue ini dianggap strategik untuk memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di kawasan tengah Sarawak, selain memberi limpahan ekonomi setempat.
Temasya kali ini mempertandingkan 11 acara sukan utama iaitu angkat berat, bola keranjang, bola jaring, sofbol, petanque, sepak takraw, taekwondo, ping pong, tinju, berbasikal dan karate.
Saingan dijangka lebih sengit dengan penyertaan empat kontinjen zon iaitu Zon Utara (Miri, Limbang, Bintulu), Zon Tengah (Mukah, Sibu, Kapit), Zon Barat (Sarikei, Betong, Sri Aman) dan Zon Selatan (Serian, Samarahan, Kuching).
Dalam pada itu, mesyuarat kedua akan diadakan di Sri Aman bagi memuktamadkan aspek teknikal, logistik serta penyelarasan pengurusan venue sebelum temasya bermula.
Turut hadir, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Khairul Nizam Morshidi, wakil Pejabat Residen, wakil persatuan sukan, serta pegawai daripada MSNS dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC). -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Majlis Sukan Negeri Sarawak