Tiga Jalan di DUN Opar Perlu Tindakan Segera, Tingkat Kelancaran Pergerakan Penduduk
KUCHING: Tiga jalan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dikenal pasti memerlukan tindakan segera bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, berkata ketiga-tiga projek naik taraf jalan ini iaitu Jalan Kampung Pasir Tengah, jalan akses ke Jambatan Selampit dan Jalan Selampit Bitokan yang mana dijangka menelan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM148 juta.
“Terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf Jalan Kampung Pasir Tengah kepada Jalan Standard JKR R2 meliputi jarak kira-kira 5 kilometer serta pembinaan sebuah jambatan, dengan anggaran kos sebanyak RM60 juta.
“Akses jalan masuk dan keluar dari Jambatan Selampit amat memerlukan perhatian segera daripada kerajaan di mana jajaran sepanjang 1.8 kilometer ini mempunyai anggaran kos Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM22 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.
Satu lagi jalan iaitu Jalan Selampit Bitokan katanya memerlukan naik taraf segera dengan kira-kira 5.5 kilometer jalan mengikut piawaian JKR R2, bagi memastikan laluan yang lebih selamat dan boleh dipercayai untuk komuniti yang bergantung kepadanya dengan nggaran kos JKR yang diperlukan untuk jalan ini ialah RM66 juta.
“Naik taraf Jalan Selampit Bitokan amat diperlukan bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku serta keadaan jalan yang semakin merosot, yang telah lama menjejaskan pengangkutan, keselamatan, dan aktiviti ekonomi setempat,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Billy berharap peruntukan RM6.1 bilion untuk tujuan pembangunan luar bandar yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dapat digunakan menaiktaraf jalan berkenaan. -EDISI UKAS