Belanjawan Sarawak 2026 Beri Manfaat Menyeluruh, Fokus Semua Lapisan Rakyat
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 disifatkan sebagai belanjawan yang berpandangan jauh kerana memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kategori pendapatan termasuk kumpulan miskin tegar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, berkata kerajaan negeri telah merangka pelbagai inisiatif baharu sebagai langkah memperkukuh kedudukan ekonomi Sarawak serta memastikan rakyat terus menikmati kemajuan secara menyeluruh.
Jelasnya, keseluruhan inisiatif di bawah Belanjawan Sarawak 2026 mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat di semua peringkat, sekali gus menjamin kesejahteraan dan pembangunan yang berterusan.
"Dalam masa terdekat akan ada undang-undang baharu yang akan dibincang dan diluluskan. Undang-undang ini dijangka memberi banyak kelebihan kepada Sarawak untuk memperoleh pelbagai sumber pendapatan baharu,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Khamis.
Royston menambah, fokus belanjawan terhadap pembangunan luar bandar penting untuk rakyat di kawasan Tellian kerana majoriti kawasannya berada di luar bandar.
Katanya, antara kawasan yang terlibat termasuk 105 rumah panjang di Ulu Batang Mukah dan Ulu Batang Oya bagi memastikan penduduk setempat turut menerima manfaat.
“Apabila belanjawan memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar, ini bermakna kawasan Telian turut menerima manfaat secara langsung. Pembangunan kawasan turut disokong melalui agensi seperti Rajang Delta Development Agency (RADDA),” katanya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Mohd Amirul