APACE 2026 Angkat Sarawak Ke Arah Hab Aeroangkasa Hijau Asia Pasifik
KUCHING: Sarawak memperkukuh langkah menjadi hab aeroangkasa hijau kompetitif di rantau ini menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, persidangan bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan itu bakal menghimpunkan komuniti aeroangkasa global.
Menurutnya, penganjuran APACE 2026 juga mempamerkan komitmen kerajaan negeri membangunkan sektor aeroangkasa, kejuruteraan lanjutan dan teknologi hijau sebagai pemacu ekonomi baharu.
“Ini bukan sekadar satu lagi persidangan, APACE 2026 akan menjadi perhimpunan penting yang menyatukan komuniti aeroangkasa dan penerbangan global,” katanya dalam sidang media APACE 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.
Dato Sri Roland Sagah menambah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan merasmikan persidangan tersebut pada 27 Januari 2026.
Beliau memaklumkan APACE 2026 akan memberi tumpuan kepada empat bidang teras iaitu pembangunan aerotropolis, penerapan digitalisasi dan teknologi canggih dalam aeroangkasa, peralihan kepada penerbangan lestari berasaskan tenaga hijau, serta pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga kerja masa depan yang berkemahiran tinggi.
"Acara ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung, lebih 1,000 perwakilan, lebih 50 pempamer dan lebih 60 penceramah terkemuka, yang meliputi lebih 50 sesi persidangan termasuk dari National Aerospace Industry Corporation (NAICO Malaysia), NACO Netherlands, Malaysian Space Agency (MYSA), Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dan NOVASPACE Perancis," katanya.
Beliau turut mendedahkan beberapa perbincangan kini sedang dimuktamadkan dan dijangka menghasilkan lima hingga tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) sepanjang persidangan yang menjadi bukti minat dan keyakinan pelabur global terhadap potensi besar ekosistem aeroangkasa Sarawak.
Turut hadir semasa sidang media ini ialah Timbalan Menteri MEITD Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed dan Pengarah Eksekutif Borneo Business Connect Sdn Bhd Nadzeem Abd Rahman.-EDISI UKAS