Manfaat KGC & SCHB Perlu Diperluaskan Demi Kebajikan Warga Emas Sarawak
KUCHING: Manfaat Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) perlu diperluaskan demi memenuhi keperluan sebenar golongan warga emas di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming mencadangkan agar Kerajaan Sarawak mempertimbangkan peluasan manfaat KGC atau SCHB bagi merangkumi perkhidmatan kesihatan yang relevan dengan proses penuaan seperti rawatan fisioterapi, pemulihan, serta sokongan untuk pembelian suplemen kesihatan.
Menurutnya, maklum balas yang diterima melalui program bergerak KGC dan SCHB di Bintulu menunjukkan ramai warga emas memerlukan bantuan tambahan, khususnya dalam aspek kesihatan harian.
“KGC dan RM50 juta yang diperuntukkan untuk SCHB adalah inisiatif yang sangat baik. Namun, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk melanjutkan manfaat ini supaya turut merangkumi fisioterapi dan pemulihan memandangkan mobiliti dan kesihatan sendi warga emas semakin merosot seiring usia.
“Begitu juga dengan pembelian suplemen kesihatan yang penting untuk mengekalkan kepadatan tulang dan kesihatan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Johnny Pang menambah, Sarawak kini sedang menuju ke arah masyarakat menua, seiring unjuran nasional yang menjangkakan lebih 14 peratus rakyat berusia 65 tahun ke atas menjelang tahun 2040.
Justeru, beliau menegaskan bahawa penambahbaikan terhadap skim kebajikan sedia ada amat diperlukan agar bantuan yang diberikan terus relevan dan mampu menangani cabaran kesihatan yang semakin meningkat dalam kalangan warga emas.-EDISI UKAS