Jajaran Jalan Pertanian, Jalan Ladang Perlu Dibina di Tanjung Datu
KUCHING: Inisiatif kerajaan untuk menjadikan Tanjung Purun sebagai pusat pengeluaran padi moden kini menunjukkan perkembangan positif selepas pampasan bagi fasa pertama pengambilan semula tanah selesai dibayar pada bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, pembinaan jajaran jalan pertanian atau jalan ladang ini amat penting bagi menyokong kegiatan pertanian setempat, terutama apabila usaha kerajaan memodenkan penanaman padi di Tanjung Purun semakin menampakkan hasil.
“Saya ingin menyuarakan permintaan masyarakat di kawasan saya agar lebih banyak jajaran jalan pertanian atau jalan ladang dibina bagi membuka akses ke kebun serta kawasan pertanian masing-masing,” katanya demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Tambahnya, pembangunan Tanjung Purun di samping pembinaan jajaran ini bukan sahaja membuka peluang kepada penghasilan padi secara moden, tetapi juga berpotensi menarik minat golongan belia untuk menceburi pekerjaan dalam ekosistem penanaman padi.
Azizul turut merakamkan penghargaan penjelasan daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) berhubung perancangan peningkatan sambungan elektrik ke kawasan Lundu dan Sematan.
Katanya, pengumuman tersebut amat dialu-alukan memandangkan penduduk Tanjong Datu kerap mengalami gangguan bekalan elektrik.
Justeru, beliau berharap pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat melihat keperluan ini bukan sahaja dari aspek populasi atau jumlah rumah, tetapi juga industri pelancongan yang semakin berkembang di kawasan Tanjong Datu.
“Saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan pihak SEB dalam merangka pelan penjanaan kuasa di Daerah Lundu,” ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus