Penduduk Ngemah Harap Sambungan Jalan Darat & Naik Taraf Jalan Balak Dipercepat
KUCHING: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menaruh harapan tinggi agar projek sambungan Jalan Batu Luking ke Teluk dan naik taraf Jalan Balak ke Hulu Ngemah dapat dipercepatkan bagi meningkatkan aksesibiliti dan keselamatan penduduk.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, walaupun Jalan Batu Luking telah lama siap, penempatan rumah panjang di kawasan Teluk masih terasing kerana tiada sambungan jalan darat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar sambungan jalan tersebut dilaksanakan segera supaya penduduk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam perbahasan sama, Anyi turut memohon agar laluan darat ke kawasan SPS Nanga Jagau dan Hulu Sungai Ngemah, yang ketika ini hanya melalui jalan balak yang uzur, juga dapat dinaik taraf dengan segera.
Ujarnya, naik taraf ini bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan dan kemudahan akses, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi bagi komuniti pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada laluan tersebut.
Dengan keutamaan diberikan kepada projek-projek kritikal seumpamanya, Anyi berharap kerajaan Sarawak terus komited memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. -EDISI UKAS