KUCHING: Insiden kemalangan pada 21 Oktober 2025 di Jalan Kuching-Samarahan Expressway, yang meragut seorang nyawa dan mencederakan dua lagi mangsa, menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan jalan di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Stakan, Dato Hamzah Brahim berkata, keadaan jalan tersebut membahayakan pengguna, akibat lencongan kerja projek Kuching Urban Transformation System (KUTS), yang didakwa menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan berhampiran lampu isyarat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak KUTS, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti punca utama isu keselamatan dan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang.
Dato Hamzah berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Selain itu tambahnya, jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang kini hanya mempunyai satu lorong bagi setiap arah, sering mengalami kesesakan teruk dan meningkatkan risiko kemalangan, terutama pada waktu puncak.
Justeru, beliau menyarankan agar jalan berkenaan dinaik taraf kepada dua lorong bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya.
Turut disarankan agar pemasangan lampu jalan di kawasan gelap, 'guardrail' di Jalan Datuk Mohd Musa, termasuk lampu isyarat di 'T-Junction' Jalan Berlian, dilaksanakan segera sebagai langkah pencegahan kritikal.
“Keselamatan jalan bukan sahaja tanggungjawab pengguna, tetapi juga pihak berwajib. Tindakan proaktif mampu menyelamatkan nyawa dan memastikan perjalanan lebih selamat,” katanya.
Dalam perbahasan sama, Dato Hamzah menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan Sarawak 2026, bertemakan 'Empowering People, Advancing Prosperity, Building a Resilient Future'.
Belanjawan ini menurutnya, bukan sekadar angka, malah mencerminkan kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menjamin pembangunan yang inklusif dan seimbang untuk seluruh rakyat Sarawak.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan saya ucapkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg atas pembentangan belanjawan yang komprehensif, menyeluruh dan berpaksikan rakyat.
"Belanjawan ini menyantuni rakyat dari segenap lapisan, termasuk belia, petani, penjawat awam serta komuniti luar bandar,” jelasnya lanjut.-EDISI UKAS