ADUN Simunjan Gesa Mitigasi Segera Atasi Tanah Runtuh Gunung Ngeli
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris mohon tindakan segera bagi menangani isu tanah runtuh berterusan di Kampung Gunung Ngeli.
Menurut beliau, insiden terbaharu menunjukkan keadaan semakin membimbangkan apabila hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut menyebabkan tanah tepu dan cerun menjadi tidak stabil.
Keadaan itu katanya, meletakkan penduduk dalam risiko tinggi setiap kali musim hujan tiba.
“Walaupun kajian terperinci dan laporan lengkap telah disediakan, keutamaan kini ialah tindakan segera," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Beliau juga menyeru agar agensi berkepakaran seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta agensi teknikal lain turun ke lapangan segera bagi melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek, sementara menunggu pelan jangka panjang dimuktamadkan.
“Saya berharap kementerian dan agensi teknikal dapat memberi perhatian khusus serta mempercepatkan penilaian, kelulusan dan pelaksanaan kerja supaya risiko dapat dikurangkan sebelum berlaku tragedi yang lebih besar,” tegasnya lagi.
Dalam masa sama, Awla turut membangkitkan keperluan mendesak untuk menambah bilangan jurutera di Majlis Daerah Simunjan bagi menangani isu pembangunan, keselamatan dan cabaran geoteknikal secara lebih berkesan.
“Penambahan jurutera bukan hanya satu keperluan, tetapi keutamaan demi keselamatan rakyat. Simunjan sedang berkembang, namun tanpa tenaga pakar mencukupi, risiko bencana dan kelewatan pembangunan akan terus berlaku,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS