KUCHING: Aktiviti penyalahgunaan dadah di Sarawak terus menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa, dengan pendekatan holistik dianggap sebagai kunci dalam membendung gejala ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, selain penguatkuasaan undang-undang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan dan swasta serta badan bertanggungjawab seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Skuad Antidadah dan One Stop Committee (OSC) digalakkan memperkukuh program pendidikan dan kesedaran di sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta komuniti.
“Langkah-langkah ini termasuk memperluas akses kepada pusat rawatan dan pemulihan, serta mempertingkatkan kerjasama pelbagai agensi bagi operasi penguatkuasaan dan program pencegahan yang lebih proaktif,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada PDRM Sarawak terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kerana telah mengambil tindakan sewajarnya dengan rekod tangkapan seramai 11,315 bermula 1 Januari hingga 16 November tahun ini dan 584 daripadanya adalah pengedar.
“Tahniah turut diucapkan kepada AADK Sarawak atas komitmen mereka dalam melaksanakan Operasi Cegah Khas dan serbuan di sarang penagih, sama ada di kawasan bandar, pedalaman, atau sempadan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pencegahan penyalahgunaan dadah adalah tanggungjawab bersama, memerlukan tindakan bersepadu antara pihak berkuasa, agensi kerajaan dan masyarakat untuk memastikan Sarawak bebas daripada ancaman dadah. -EDISI UKAS