MINTRED Tawar Pelbagai Bentuk Bantuan Perkasa Usahawan Sarawak Ke Pasaran Global
LIMBANG: Usahawan kecil dan sederhana di Sarawak terus diberi peluang memperluaskan pasaran produk ke peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak.
Wakil MINTRED, Zairul Azwar Jamhari, ketika menyampaikan taklimat menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan dirangka bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, MINTRED komited memastikan misi Sarawak sebagai destinasi pilihan pelabur dan rakan niaga dapat direalisasikan, selaras dengan usaha memacu pembangunan sektor perindustrian serta meningkatkan daya saing produk tempatan.
Untuk tujuan itu, pelbagai kemudahan disediakan meliputi pinjaman pembiayaan perniagaan, geran keusahawanan, serta bantuan bukan kewangan yang ditawarkan mengikut kategori usahawan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiga agensi menjadi rakan strategik MINTRED dalam pelaksanaan program pembangunan usahawan, iaitu Agrobank, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Di bawah skim pembiayaan tersebut, usahawan layak memohon pinjaman bermula RM20,000 sehingga RM250,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan masing-masing.
Dalam masa sama, geran keusahawanan turut disediakan untuk graduan diploma dan ijazah yang memulakan perniagaan pertama mereka sebagai sokongan awal untuk bertapak dalam industri.
Bagi usahawan teknikal dan vokasional pula, bantuan lebih memfokuskan kepada sokongan bukan kewangan seperti penyediaan aset, peralatan, latihan kemahiran dan bimbingan teknikal.
Menerusi Skim Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), program ini menyasarkan golongan muda berkemahiran, graduan TVET serta individu yang ingin memulakan perniagaan berasaskan kepakaran seperti automotif, elektrikal, mekanikal, pertukangan dan perkhidmatan teknikal yang lain.
Selain itu, usahawan turut berpeluang memohon Geran Digital sehingga RM10,000 bagi pembelian peralatan digital seperti mesin pembayaran (POS), tablet, perisian invois dan aplikasi perniagaan bertujuan meningkatkan keupayaan operasi secara digital.
Zairul turut menegaskan bahawa peluang yang disediakan ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan bagi memastikan produk Sarawak dapat menembusi pasaran lebih luas, seterusnya meningkatkan pendapatan dan merancakkan ekonomi komuniti.-EDISI UKAS