SFCF 2025 Terus Angkat Samarahan Sebagai Hab Festival Budaya Serantau
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2025 terus membuktikan keunggulannya sebagai platform kesenian serantau apabila malam keenam festival itu menampilkan pelbagai persembahan budaya yang merentasi sempadan negara di Tapak Pasar Tamu MPKS Desa Ilmu, di sini pada Khamis.
Festival yang bermula sebagai medan gastronomi kini berkembang sebagai jambatan budaya yang menghimpunkan warisan pelbagai masyarakat menerusi jualan makanan tradisional dan moden, aktiviti komuniti serta persembahan seni yang menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara.
Empat persembahan budaya utama mengisi pentas malam tersebut.
Sanggar Andari Pontianak dari Indonesia membuka tirai dengan tarian Lenggak Lenggok Nak Dare, diikuti persembahan tarian Menyak oleh Kolej Bunga Raya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Delegasi Chulalongkorn University dari Thailand meneruskan persembahan dengan tarian Serng Ka Po sebelum Kolej Cempaka, UNIMAS menutup malam dengan tarian bertenaga Nadi Serumpun.
Persembahan puisi oleh pelajar UNIMAS dan nyanyian artis tempatan Faris Malek turut memeriahkan acara.
Keunikan festival ini turut terserlah melalui pertemuan budaya sepanjang penganjuran, menjadikan SFCF platform pertukaran budaya yang mengeratkan hubungan masyarakat serantau, selain memperkayakan pengalaman pengunjung melalui seni, makanan dan identiti setempat.
Malam penganjuran turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang menyatakan sokongan terhadap festival tersebut sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan menonjolkan kelebihan Kota Samarahan sebagai pusat festival budaya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS Kaunselor Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani, wakil Pegawai Daerah Samarahan Grace Rudy Singa, wakil Pegawai Daerah Asajaya Syaifulizuan Shafri, Pengerusi Pengelola SFCF 2025 Kaunselor Prof Madya Dr Sopian Bujang serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Penjaja MPKS Kaunselor Aziz Mohamad.-EDISI UKAS