Agriculture Facilitation Fund Harus Disediakan Untuk Ringankan Beban Petani
KUCHING: Agriculture Facilitation Fund (AFF) harus disediakan semula oleh Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban golongan petani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik berkata, aktiviti pertanian masih menjadi tulang belakang kepada kehidupan penduduk di luar bandar.
Menurutnya, kebanyakan penduduk di luar bandar terlibat dengan penanaman kelapa sawit, lada dan juga tanaman kontan yang lain.
“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, selain dari menjadi peserta projek Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA), ramai juga yang mengusahakan tanaman kelapa sawit secara persendirian.
“Maka dengan ini, saya mohon supaya kerajaan menyediakan lebih banyak peruntukan kewangan untuk membantu para petani dalam bentuk skim, bantuan jalan kebun, dan bantuan-bantuan lain terutamanya dalam bidang pertanian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
“Selain itu, bantuan input pertanian seperti baja, racun, dan input-input lain juga harus disediakan untuk meringankan beban para petani dan pekebun, di mana harga bahan adalah amat tinggi,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Friday juga mohon agar satu Mini Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) diwujudkan di Saratok sebagai pelengkap kepada CPPC di Bebuling Spaoh kelak.
“Dengan adanya CPPC ini, maka ianya boleh membantu menyelesaikan masalah pemasaran hasil tanaman dan keluaran para petani,” katanya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nerissa Sia
Foto: Ibanez Jeffery Guang