Belanjawan Sarawak 2026 Perkukuh Agenda Tenaga Hijau & Kelestarian
KUCHING: Belanjawan Sarawak 2026 disifatkan sebagai peruntukan paling menyeluruh dalam memacu agenda tenaga hijau, kelestarian alam sekitar dan kesiapsiagaan perubahan iklim.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, penubuhan ‘Climate Change Centre’ bakal menjadi pusat penyelaras utama dasar perubahan iklim negeri.
“Kita akan menubuhkan Climate Change Centre, malahan dalam kementerian saya kita akan dapat menjana pendapatan baru bermula pada tahun depan iaitu 'carbon levy' ataupun cukai ke atas karbon di mana syarikat-syarikat yang melepaskan karbon dengan jumlah yang banyak iaitu sebanyak 250,000 tan CO2 setahun akan dikenakan cukai,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa matlamat jangka panjang kerajaan adalah untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050 melalui Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM3.4 juta bagi institusi yang terlibat dalam perancangan kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon.
Selain itu ujarnya, sebanyak RM7 juta pula diperuntukkan khusus untuk melaksanakan empat program utama, iaitu Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan, Study on Carbon Levy and Carbon Pricing, Sarawak Energy Transition Policy Implementation Programme Quantifying Forest Carbon Stock in Sarawak.
“Sebanyak RM30.73 juta lagi akan diperuntukkan bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar serta menggalakkan pembangunan industri mampan.
“Program pemulihan landskap hutan turut diperuntukkan RM2.4 juta, manakala kawasan perlindungan sepenuhnya dan perlindungan hidupan liar menerima RM4.8 juta,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa rakyat akan terus menerima manfaat langsung menerusi bantuan pendidikan, termasuk pelaksanaan pendidikan percuma yang bermula tahun depan, selain skim bantuan lain seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan bantuan perubatan kepada warga emas.-EDISI UKAS