Sarawak Meterai MoU Dengan NACSA, SarawakPASS Kini Diintegrasi Dengan MyDigitalID
KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini melakar satu lagi lonjakan penting dalam agenda keselamatan digital negeri apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mengintegrasikan SarawakPASS dengan ekosistem MyDigitalID.
Langkah strategik ini menandakan penyelarasan rasmi antara platform identiti digital negeri dan sistem identiti digital nasional.
MoU tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bagi pihak Kerajaan Sarawak, manakala NACSA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Majlis tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini sekali gus merasmikan kerjasama rasmi antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan identiti digital yang selamat, dipercayai dan bersepadu di Malaysia.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi yang ditemui selepas majlis itu berkata, integrasi ini akan menjadi pemacu penting kepada pembinaan ekosistem digital yang lebih kukuh, seiring usaha kerajaan negeri mempertingkat keselamatan data dan keyakinan pengguna.
“Usaha menggabungkan SarawakPASS dengan MyDigitalID turut dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memperluas penggunaan identiti digital yang standard, memudahkan akses perkhidmatan kerajaan serta melindungi data rakyat melalui kawal selia keselamatan yang selaras pada peringkat nasional.
“Data pengguna SarawakPASS akan terus dipelihara di bawah prosedur keselamatan siber yang ketat,” katanya.
Di bawah MoU ini katanya, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) di bawah Jabatan Premier Sarawak bertindak sebagai agensi peneraju dan pemilik dasar bagi SarawakPass.
Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), sebagai penyedia teknologi yang dilantik bertanggungjawab ke atas pembangunan, integrasi dan operasi platform SarawakPass.
Sementara itu, Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan menyediakan penyeliaan pengawalseliaan dan pematuhan bagi memastikan SarawakPass mematuhi keperluan tadbir urus digital Negeri, standard keselamatan siber serta dasar-dasar yang berkaitan.
Inisiatif integrasi ini memberi tumpuan kepada pembangunan API selamat, log masuk rentas platform, log masuk tunggal (SSO), perkongsian data berasaskan kebenaran, penjajaran dasar serta langkah keselamatan siber yang diselaras.
Langkah-langkah ini direka bentuk untuk menyokong rangka kerja identiti dipercayai yang memperkukuh keselamatan transaksi digital merentas perkhidmatan kerajaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Pengarah SCSDU Datu Grace Huong Siew Hung, Ketua Pegawai Eksekutif mydigitalID Nik Hisham Nik Ibrahim serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : George