BETONG: Penguasaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) adalah asas penting dalam mendorong Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata pendedahan awal STI kepada murid sekolah rendah merupakan pelaburan masa depan bagi melahirkan generasi kreatif, celik teknologi dan berdaya saing.
“Ini bukan sekadar program sekolah, ini adalah tentang masa depan anak-anak kita iaitu jurutera, saintis, inovator digital dan pakar tenaga hijau yang akan memacu pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Karnival STI Madani yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, Sarawak kini menuju ke arah menjadi pencipta teknologi seiring perkembangan sektor kecerdasan buatan (AI), hidrogen, automasi, bioteknologi dan ekonomi digital yang memerlukan modal insan masa hadapan berkemahiran dan menguasai STI.
Dalam kesempatan itu, Dato Dr Richard turut meninjau 10 reruai pameran inovasi murid melibatkan bidang seperti robotik, pengekalan makanan, hidroponik, tenaga solar, roket air, dron, 3D pen dan pembangunan prototaip.
Keputusan bagi pertandingan reruai pameran turut diumumkan pada majlis penutupan dengan Solar Energy Team dinobatkan sebagai juara, manakala Hydroponic Team muncul naib juara dan Food Preservation Team meraih tempat ketiga.
Turut disampaikan ialah anugerah khas yang menyaksikan Solar Energy Team memenangi dua kategori iaitu Best Presenters Group dan Most Creative Team, sementara Water Rocket Team diumumkan sebagai penerima Most Cooperative Team.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Betong Huriah Yatim, Guru Besar SK Nanga Ajau James Ali, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Betong Minggu Ujak, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Ajau Rahynold Rehenggia dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) Paul Langgang. -EDISI UKAS