Christmas Parade 2025 Marudi Platform Penyatuan Masyarakat
MARUDI: Christmas Parade 2025 Marudi sekali lagi menjadi platform penyatuan masyarakat apabila pelbagai denominasi gereja dan komuniti setempat menyertai perarakan yang berlangsung meriah di Dataran Marudi pada Sabtu.
Wakil Pegawai Daerah Marudi,Vanessa Joseph berkata, penglibatan menyeluruh pelbagai denominasi gereja membuktikan bahawa perbezaan budaya bukan penghalang, bahkan menjadi kekuatan yang diraikan bersama.
“Penyertaan semua pihak mencerminkan bahawa kepelbagaian adalah aset yang menyatukan,” katanya.
Tambahnya, keharmonian masyarakat Marudi bukan sahaja terserlah dalam sambutan Krismas, malah turut terbukti melalui perayaan lain seperti Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Vanessa turut berkongsi perkembangan projek pembangunan daerah, termasuk pembinaan Jalan Miri–Marudi yang dijangka membuka peluang pelancongan baharu serta meningkatkan daya saing penduduk setempat.
Program yang dianjurkan oleh Eng Hui Methodist Church Marudi itu mengumpulkan sekitar 300 peserta dari gereja-gereja seluruh daerah, membawa mesej kasih sayang, keharmonian dan perpaduan seiring tema tahun ini, “Kasih Tuhan Merentasi Budaya.”
Perarakan bermula di Kompleks Sukan Marudi sebelum diteruskan dengan sesi pujian penyembahan, perkongsian Firman Tuhan serta persembahan khas daripada pelbagai gereja.— EDISI UKAS