Lagenda Cahaya Kekal Dinobat Raja Sungai Pesta Bersaug Dalat 2025
DALAT: Pasukan Lagenda Cahaya Kekal terus membuktikan kehebatan apabila menjuarai acara Raja Sungai kategori 1,800 meter 30 Pekayuh Lelaki sempena Pesta Bersaug N.56 Dalat 2025, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Sungai bagi edisi tahun ini.
Pasukan milik Ali Hamid itu mengungguli saingan penuh sengit itu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM11,000 beserta piala kemenangan.
Kemenangan tersebut menewaskan pencabar terdekat, pasukan Puteri Bunian milik Ramzi Ali, yang menduduki tempat kedua dengan hadiah RM6,000, diikuti pasukan Rasa Sayang milik Mohd Amirudin Hussain, yang merangkul tempat ketiga dan menerima RM3,600.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert, Pegawai Pendidikan Daerah Dalat Magdeline Jon serta Temenggong Bahagian Mukah Ayahanda Temenggong Hendi Suhai.
Acara perlumbaan perahu ini merupakan kemuncak program acara air sepanjang Pesta Bersaug Dalat 2025, yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.-EDISI UKAS