ADUN Mambong Rasmikan Projek Infrastruktur Awam (RTP) Kampung Abang & Pangkalan Ampat
PADAWAN: Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong telah hadir menyempurnakan Projek Infrastruktur Awam (RTP) Kampung Abang dan Pangkalan Ampat dalam satu majlis makan malam pada Sabtu.
Menurut beliau, projek infrastruktur yang dirasmikan ialah naik taraf Dewan Serbaguna, tempat letak kereta, jambatan gantung, pintu gerbang serta laluan pejalan kaki.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada penduduk Kampung Abang dan Pangkalan Ampat atas semangat kerjasama dalam memastikan pembangunan berjalan lancar.
“Disiplin pelaksanaan projek amat penting bagi mengelakkan masalah projek terbengkalai seperti yang berlaku di beberapa kawasan lain akibat kegagalan pihak kontraktor.
“Pembangunan pesat di kawasan pendalaman seperti Kampung Sapit, Kiding dan Annah Biya membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti,” katanya.
Untuk rekod katanya, sebanyak tujuh projek RTP bernilai keseluruhan RM1.23 juta telah berjaya dilaksanakan di Kampung Abang dan Pangkalan Ampat Sejak 2016 hingga 2025.
Datuk Dr Jerip turut berkongsi perkembangan pesat pembangunan di kawasan Annah Biya termasuk peningkatan akses jalan luar bandar, pembangunan produk pelancongan di bawah Sarawak Delta Geopark (UNESCO) serta usaha menjadikan Annah Biya termasuk Kampung Abang sebagai hab penanaman bunga kantan dan kopi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan tender projek jalan baharu ke Kampung Biya Sapit bernilai RM20 juta dan projek menaik taraf jalan ke Kampung Biya Kiding bernilai RM9 juta telah dikeluarkan.
“Projek jalan Kampung Biya Jaber dengan peruntukan RM24 juta sedang menunggu kelulusan pelaksanaan dan dana persekutuan,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 sebanyak RM40,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Abang bagi melaksanakan aktiviti tahunan. -EDISI UKAS