KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Samarahan Food And Cultural Festival (SFCF) 2025 mencatatkan prestasi luar jangka apabila nilai jualan keseluruhan sepanjang sembilan hari melebihi RM300,000, sekali gus mengatasi sasaran awal RM250,000.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pencapaian itu sebagai isyarat jelas potensi Samarahan untuk menjadi pusat ekonomi baharu serta destinasi tumpuan pelancongan.
Beliau berkata festival tersebut memperlihatkan keupayaan komuniti muda, khususnya Bumiputera, meneroka bidang keusahawanan secara lebih berani dan tersusun.
“Ramai anak muda terlibat berniaga, mereka bukan hanya menjual tetapi belajar, mencuba dan akhirnya berjaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Pentas Utama Tapak Pasar Tamu MPKS Desa Ilmu.
Menurutnya, permintaan tinggi terhadap produk makanan, budaya serta gaya hidup hasil kehadiran komuniti pelajar dan tenaga kerja mengubah Samarahan daripada kawasan hutan kepada bandar pendidikan yang rancak.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu turut membandingkan prestasi SFCF dengan festival utama lain di Sarawak, termasuk Festival MBKS yang merekodkan lebih RM1 juta dalam tempoh tiga minggu.
Justeru, beliau turut mencadangkan penganjuran masa hadapan ditingkatkan dari segi durasi atau jadual mingguan bagi memberi ruang lebih luas kepada peniaga dan pengunjung.
Beliau turut mengesyorkan agar SFCF dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa yang hadir kerana makanan dan budaya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menegaskan pembangunan Samarahan bersifat perancangan jangka panjang melalui projek utama seperti termasuk jejambat dan jaringan jalan bertingkat di atas tanah gambut bagi mengurangkan kos penyelenggaraan, rangkaian Automated Rapid Transit (ART) yang menghubungkan Samarahan ke Kuching serta cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di pesisir Asajaya.
Beliau menyifatkan pembangunan tersebut bakal memacu ekosistem ekonomi dan pendidikan dalam dua dekad akan datang.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang, ADUN Simunjan Awla Dris, Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr Daily Joseph, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin serta Pengerusi Pengelola SFCF 2025, Cr Prof Madya Dr Sopian Bujang. -EDISI UKAS