Pelajar Miri Teroka Budaya, Teknologi dan Pendidikan Jepun Menerusi Program M-JET 2025
MIRI: Seramai 64 peserta terdiri daripada 47 pelajar berusia 13 tahun ke atas termasuk lapan guru, tujuh ibu bapa dan dua jurulatih JTB menyertai Program Pelancongan Pendidikan Malaysia–Japan (M-JET) ke Osaka dan Hyogo, Jepun dari 24 hingga 29 November 2025.
Rombongan tersebut merangkumi 50 peserta dari Kolej TDTH Bujang Miri dan 12 peserta dari SM Sains Miri.
Program berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara sekolah Malaysia dan Jepun melalui pelbagai bentuk pertukaran pendidikan, di samping meningkatkan pemahaman pelajar terhadap sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sejarah, teknologi dan masyarakat Jepun.
Peserta turut diberi peluang merasai kehidupan seperti pelajar tempatan, di samping membina keyakinan diri melalui aktiviti kepimpinan, pengucapan awam dalam bahasa Jepun serta persembahan kebudayaan.
Antara aktiviti utama program termasuk lawatan pendidikan ke Himeji Castle bagi mempelajari sejarah Jepun, pertukaran rasmi bersama sekolah menengah dan universiti di Hyogo yang menyaksikan pelajar mempersembahkan maklumat mengenai sekolah, kepelbagaian budaya Sarawak serta persembahan tarian dalam bahasa Jepun dan Inggeris.
Peserta turut mengalami pengalaman inap desa di Bandar Awajishima selama satu malam bersama keluarga angkat Jepun untuk memahami budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat setempat.
Selain itu, pelajar turut mengikuti lawatan pendidikan ke Hokudanshinsai Earthquake Memorial Park untuk mempelajari tentang gempa bumi dan teknologi mitigasi yang digunakan di Jepun, sekali gus memperluas pengetahuan mereka dalam aspek keselamatan dan inovasi negara tersebut.
Program ini dikoordinasikan oleh Mani Arasi dari Kolej TDTH Bujang Miri dan turut disertai pengetua kedua-dua institusi, Jumari Hashim dan Dayang Laila Kahar dan menerima pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.-EDISI UKAS