Inisiatif Pertanian & Penternakan Baharu Lonjak Ekonomi Pedalaman Selangau
SELANGAU: Usaha memperkasa ekonomi luar bandar terus diperkukuh melalui Program Pembangunan Pertanian dan Penternakan 2025 yang berlangsung di Rumah Rama, Rantau Dangih, Oya Pakoh pada Sabtu, melibatkan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Oya Pakoh (JPKOP) dan Pusat Khidmat Parlimen Selangau.
Program yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta memberi fokus kepada peningkatan hasil pertanian, kemahiran penternakan moden serta pengukuhan jaringan perkhidmatan kerajaan bagi manfaat komuniti pedalaman.
Dalam ucapannya, Edwin menegaskan komitmen berterusan untuk menyediakan kemudahan asas meskipun berdepan kekangan peruntukan, mengambil kira lebih 800 rumah panjang berada di kawasan Parlimen Selangau.
Beliau berkata, projek seperti Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) untuk menaik taraf rumah panjang, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan dan penambahbaikan jalan, serta penyediaan sistem perpaipan HDPE tetap menjadi agenda utama bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman.
Program ini menghimpunkan pelbagai ceramah teknikal dan kaunter perkhidmatan daripada agensi kerajaan dan badan berkaitan, termasuk Jabatan Pertanian Selangau, Pertubuhan Perladangan Negeri Sarawak (PPNS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Pertanian Malaysia (Agrobank), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Penduduk turut berpeluang memanfaatkan jualan rahmah, jualan produk tempatan, kraftangan, serta hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Program turut menyaksikan perasmian Projek Sejati Madani JKKK Rumah Rama, iaitu inisiatif ternakan ikan dalam kolam yang dijangka menyumbang kepada pendapatan isi rumah di kawasan tersebut.
Bagi mengeratkan hubungan komuniti, pelbagai acara riadah melalui Sukan Rakyat turut dijalankan, menarik penyertaan penduduk pelbagai peringkat umur.-EDISI UKAS