BINTULU: Penganjuran Larian Amal Bersama Bomba Sarawak 3.0 yang buat pertama kali diadakan di Bintulu mencatat kejayaan besar apabila seramai 2,860 peserta mengambil bahagian, melepasi sasaran awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata, keputusan membawa penganjuran dari Kuching ke Bintulu dibuat selepas melihat minat tinggi masyarakat setempat terhadap program berorientasikan keluarga dan kecergasan.
Menurutnya, sambutan luar biasa itu membuktikan Bintulu berpotensi menjadi lokasi penganjuran program skala besar oleh JBPM pada masa hadapan.
“Terima kasih kepada rakyat Bintulu kerana pada hari ini kita menerima penyertaan seramai 2,860 orang, satu jumlah yang jauh melebihi jangkaan kami,” katanya ketika ditemui media semasa program Larian Amal Bersama Bomba Sarawak 3.0 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Program tersebut menawarkan dua kategori iaitu 10 kilometer serta fun run lima kilometer dengan penyertaan keluarga menjadi tarikan utama bagi kategori fun run.
Jamri berkata, tujuan utama penganjuran larian bomba seumpama itu bukan sekadar mengumpulkan peserta, tetapi sebagai pendekatan mendekatkan pasukan bomba dengan masyarakat.
“Kadangkala masyarakat berasa segan untuk mendekati anggota bomba ketika kami memakai uniform. Melalui program seperti ini, lebih mudah bagi kami berinteraksi dan mendekati masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, ribuan peserta yang menyertai larian itu juga secara tidak langsung menjadi duta yang membantu mempromosikan produk kebombaan dan mesej keselamatan di peringkat komuniti.
Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali dan Ketua JBPM Zon Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad.-EDISI UKAS