BINTULU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan mengaktifkan lapan pasukan gerak khas serta menempatkan aset di tiga pangkalan hadapan serantau.
Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata, persiapan rapi telah dimulakan sejak September dan dilancarkan secara rasmi pada 17 November lalu.
“Pelancaran tersebut menandakan bahawa kami telah bersedia sepenuhnya.
“Lapan pasukan gerak khas telah diaktifkan khusus bagi menghadapi MTL,” katanya ketika ditemui media semasa program Larian Amal Bersama Bomba Sarawak 3.0 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Katanya lagi, tiga Regional Forward Base diwujudkan di Kuching, Bintulu dan Miri bagi memudahkan penghantaran aset dan logistik dengan lebih cepat ketika banjir.
“Kami turut dibantu oleh kira-kira 250 pasukan bomba sukarela di seluruh Sarawak,” katanya.
Selain itu, JBPM turut menyerahkan 17 bot kepada komuniti berisiko banjir sebagai langkah respons awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mengenai keanggotaan yang bertugas semasa MTL, Jamri berkata pegawai dan anggota telah bersedia untuk pertukaran syif serta pengaktifan cuti kecemasan.
“Pegawai dan anggota amat memahami keperluan operasi. Cuti akan dibekukan jika keadaan memerlukan dan mereka sedia kembali bertugas apabila situasi menjadi kritikal,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media atas sokongan berterusan dalam menyampaikan maklumat keselamatan kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali dan Ketua JBPM Zon Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad.-EDISI UKAS