Pemerkasaan KRT Bermula Dengan Kerjasama Menyeluruh, Bukan Lagi Bekerja Secara Silo
KUCHING: Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga (RT) menegaskan komitmen Sarawak memperkukuh perpaduan akar umbi melalui pendekatan ‘No More Silo’.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan bahawa pendekatan ‘Whole of Government’ adalah kunci kepada keberkesanan gerak kerja perpaduan.
“Segala sumber, kepakaran dan peluang hanya dapat digembleng secara optimum apabila kementerian, agensi dan pihak berkepentingan bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Sudah tiba masanya kita meninggalkan pendekatan ‘No More Silo’,” tegasnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus dalam Program Semarak Perpaduan sempena Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 Peringkat Bahagian Kuching di Penview Convention Centre (PCC), Demak, pada Ahad.
Dato Sri Fatimah turut menyatakan harapan tinggi agar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus berkembang sebagai institusi komuniti yang relevan dengan perkembangan semasa.
Katanya, peranan KRT perlu diperkukuh dengan adaptasi teknologi dan peningkatan kapasiti masyarakat, sambil menekankan pemerkasaan badan itu tidak hanya bergantung kepada aktiviti rutin, tetapi memerlukan perubahan pendekatan yang lebih strategik, inovatif dan berpaksikan keperluan masyarakat setempat.
“Gunakan teknologi digital untuk memperkukuh jaringan komunikasi, tingkatkan penglibatan belia dan wanita, dan jadikan KRT sebagai platform pembangunan komuniti pintar dan inklusif,” ujarnya.
Selepas 50 tahun peranan Rukun Tetangga sejak 1975, organisasi komuniti itu kekal relevan dan menjadi rangkaian perpaduan terbesar negara, merangkumi 8,529 KRT di seluruh Malaysia termasuk 1,095 di Sarawak.
Dato Sri Fatimah turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan ahli jawatankuasa RT sebagai hero tidak didendang yang menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, sebelum merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Dalam majlis sama, logo dan slogan baharu RT, “Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan” turut dilancarkan, melambangkan identiti lebih segar, progresif dan selari dengan hala tuju semasa.
Turut disampaikan ialah Anugerah KRT Paling Lama, Anugerah KRT Paling Cemerlang, Anugerah Jiran Wanita Paling Cemerlang, Anugerah Jiran Muda Paling Cemerlang serta Anugerah SRS Paling Aktif.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri (JPNIN) Sarawak Dirwana Azool, Timbalan Pengarah JPNIN Sarawak Giri Nyareng, Ketua Unit Kesejahteraan Komuniti (PMK) JPNIN Sarawak Rose Jonathan Garau serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS