Sarawak Berjaya Tarik Pelaburan RM105.9 Bilion Bagi Tempoh 2021-2025
KUCHING: Sarawak berjaya menarik pelaburan sebanyak RM105.9 bilion bagi tempoh 2021 hingga suku ketiga 2025 meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, jumlah ini merangkumi RM68.4 bilion (64.5 peratus) pelaburan domestik dan RM37.5 bilion (35.5 peratus) pelaburan asing.
"Pelaburan yang diluluskan direkodkan dalam tiga sektor utama iaitu RM47.3 bilion dalam sektor primer, RM31.3 bilion dalam sektor pembuatan dan RM27.3 bilion dalam sektor perkhidmatan.
"Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 25,000 peluang pekerjaan berpotensi, termasuk lebih 21,000 peluang dalam sektor pembuatan," katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Sepanjang tempoh ini ujarnya, pelaburan dalam sektor pembuatan tertumpu kepada industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) serta industri kimia.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai tersebut menambah, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak menunjukkan pertumbuhan konsisten daripada RM131.6 bilion pada tahun 2021 kepada RM148.2 bilion pada tahun 2024.
Menurutnya, sektor pembuatan sebagai sektor kedua terbesar, mencatat pertumbuhan yang berubah-ubah dengan mencapai paras tertinggi pada 2022 dengan RM39.2 bilion, sebelum menyederhana dan pulih sedikit kepada RM38.2 bilion pada 2024. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus