140 Kertas Siasatan Dibuka Bagi Kes Pembalakan Haram, TPA & Hidupan Liar
KUCHING: Sebanyak 140 kertas siasatan melibatkan kes pembalakan haram, Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan hidupan liar dibuka sehingga November 2025 dalam usaha mengekang segala bentuk pencerobohan, pembalakan haram serta jenayah hidupan liar hingga ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, Jabatan Hutan Sarawak telah membuka 81 kertas siasatan berkaitan kesalahan hutan dan aktiviti pembalakan haram, dengan empat kes didaftarkan untuk pendakwaan di mahkamah dalam tempoh Mei hingga Oktober 2025.
“Sebanyak empat kes telah didaftar untuk pendakwaan di mahkamah, di mana dua kes telah selesai dibicarakan, manakala dua kes masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan.
“Selebihnya masih dalam pelbagai peringkat siasatan dengan sebanyak RM554,923 kompaun dan RM718,551 hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan telah dikutip dalam tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menyentuh kesalahan yang berkaitan dengan TPA dan jenayah hidupan liar, beliau mendedahkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah membuka sebanyak 59 kertas siasatan bagi tempoh April sehingga November 2025.
Dedahnya, sembilan kes telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan, 15 kes telah dikenakan kompaun, dua kes telah dihantar ke Kamar Peguam Besar Sarawak dan selebihnya 33 kes masih dalam pelbagai peringkat siasatan.
“Bagi tempoh masa yang sama, sebanyak lapan kertas siasatan yang dibuka pada tahun sebelumnya turut telah didakwa di mahkamah, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dibawa ke mahkamah dalam tempoh ini sebanyak 17 kes.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 21 tertuduh telah mengaku bersalah dan didenda oleh mahkamah, manakala 13 pesalah telah dijatuhi hukuman penjara,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, sejumlah RM39,000 kompaun telah dikutip manakala jumlah denda mahkamah terkumpul yang dikenakan kepada pesalah adalah sebanyak RM216,700 dalam tempoh April sehingga November 2025.
Dalam tindakan rentas sempadan, SFC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan operasi bersama agensi penguatkuasaan Indonesia dari 4 hingga 8 November 2025 dengan rampasan sebanyak 313 hidupan liar seperti kayu ara, rhu laut dan pokok tanduk rusa.
Manakala di peringkat kebangsaan, sebanyak 24 operasi telah dijalankan dengan nilai barang rampasan sebanyak RM2.23 juta menerusi 24 operasi yang dijalankan oleh PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia antara April hingga November 2025. -EDISI UKAS