SCALE Perkukuh Pembelajaran STEM dan Interaktif di Sarawak
KUCHING: Sarawak melangkah setapak lagi dalam transformasi pendidikan digital dengan pelaksanaan Sarawak Collaborative Learning Interactive Experience (SCALE), sebuah platform interaktif yang direka bagi memperkasa guru serta meningkatkan kualiti pembelajaran murid di seluruh negeri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, SCALE merupakan langkah penting dalam menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan mudah diakses yang membantu guru merancang pengajaran, memantau kemajuan dan menyokong pelajar dengan cara yang lebih peribadi.
“SCALE akan menyokong pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menggalakkan pelajar meneroka idea dan belajar melalui aktiviti praktikal yang membina pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.
“Ia juga membantu mengurangkan jurang pembelajaran dengan memberi pelajar di kawasan luar bandar dan bandar akses kepada sumber dan peluang yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak, Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak (PAGS) dan Arc Technologies Sdn Bhd bagi pelaksanaan SCALE di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dato Sri Roland Sagah berkata SCALE juga melengkapi pelaksanaan Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP) Sarawak yang menyediakan data komprehensif mengenai pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik.
Menurutnya, dapatan UP-DLP memberi gambaran jelas tentang kekuatan dan cabaran murid, sekali gus memudahkan guru merancang intervensi pembelajaran yang lebih tepat dan menyeluruh.
“Keputusan UP-DLP memberikan pandangan yang berguna, dan hasil Sains dan Matematik menunjukkan bahawa masih terdapat kerja yang perlu dilakukan untuk memperkukuh pendidikan STEM.
“Dengan menyelaraskan dapatan UP-DLP dengan SCALE dan inisiatif lain, kami dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bersasar dan berkesan untuk pelajar,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pembelajaran STEM membantu pelajar mengembangkan sifat ingin tahu, kemahiran bekerjasama serta keyakinan diri, yang menyokong pembelajaran lanjut dan kerjaya masa depan.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memperluas laluan STEM dengan sasaran 60 peratus penyertaan menjelang 2030, disokong oleh inisiatif seperti SCALE dan pembangunan guru yang diperkukuh.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Menteri MEITD Datuk Dr. Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Omar Mahli, Presiden PAGS Mutalib Kassim, Pengarah Arc Technologies Sdn Bhd. James Ling dan Ketua Pegawai Operasi Arc Technologies Sdn Bhd. Hii Ding Sin.-EDISI UKAS