MINTRED Terus Perkasa MSME, Tawar Sokongan Kewangan Komprehensif
KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah menawarkan sokongan kewangan komprehensif kepada Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (MSME) melalui program seperti GERAK, USTEV, Go Digital, SKMS dan SPIKS.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, program-program ini dari tahun 2021 hingga suku ketiga 2025 telah memberi manfaat kepada lebih 10,200 MSME dengan jumlah kelulusan sebanyak RM220.3 juta.
Selain itu katanya, agensi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak seperti AIM, Bank Rakyat, MARA, SME Corp. Malaysia, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak, SEDC dan TEGAS turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada MSME.
"Sehingga kini, lebih 358,000 MSME telah dibantu dengan jumlah kelulusan terkumpul sebanyak RM2.8 bilion.
"Melalui sokongan ini, MSME tempatan memperoleh keupayaan kewangan untuk meningkatkan pengurusan aliran tunai dan mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka.”
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Datuk Dr Malcolm menambah, kementeriannya turut bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyokong sektor informal dalam memformalkan perniagaan mereka melalui program Jum Regista Bisnes (REGISTA).
Setakat ini jelasnya, seramai 5,791 usahawan telah dibantu melalui program REGISTA di mana 60 peratus daripada jumlah tersebut telah layak menerima pelbagai bentuk sokongan perniagaan, memperoleh kontrak kerajaan dan sektor swasta, serta mengembangkan pasaran mereka ke luar Sarawak.
Jelasnya, inisiatif ini telah menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kesejahteraan sosioekonomi usahawan, khususnya mereka di kawasan luar bandar. -EDISI UKAS