Taman Negara Bako & Taman Negara Bukit Lambir Diiktiraf AHP
KUCHING: Selepas kejayaan inskripsi Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun lalu, dua lagi taman negara di Sarawak iaitu Taman Negara Bako dan Bukit Lambir turut berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Tapak ASEAN Heritage Park (AHP).
Berita gembira ini dikongsikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh sambil menambah, majlis penganugerahan akan diadakan pada 3 Disember 2025 di Hanoi, Vietnam.
“Ini merupakan satu lagi kejayaan besar buat Sarawak dan negara kita, membuktikan keupayaan pengurusan taman negara yang mencapai piawaian pengurusan terbaik di rantau ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan mengenai status pencalonan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark yang telah mendapat ‘Green Card (Accepted)’.
”Keputusan ini akan dibawa ke Lembaga Eksekutif UNESCO yang dijadualkan pada Mei 2026 untuk proses pengesahan bagi pengiktirafan rasmi sebagai UNESCO Global Geopark,” katanya lagi. -EDISI UKAS