RMK-13: RM403.25 Juta Diperuntuk Bangun 15 Taman Perindustrian, 15 Projek Anjung Usahawan
KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah diperuntuk RM403.25 juta untuk membangunkan 15 taman perindustrian dan 15 projek Anjung Usahawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, objektif strategik utama inisiatif ini adalah untuk memperluaskan infrastruktur perniagaan dan pembuatan ke bandar kecil serta kawasan luar bandar.
"Semua projek penting ini kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk proses pengenalpastian tapak, permohonan tapak, pengambilan tanah, reka bentuk dan penyediaan tender," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Untuk rekod ujarnya, RMK-12 menyaksikan enam projek taman perindustrian di Kuching, Sri Aman, Betong, Bintulu dan Miri meliputi keluasan 119 ekar dengan kos keseluruhan RM132.1 juta berjaya disiapkan.
Manakala, dua Anjung Usahawan di Kuching turut dibangunkan dengan kos berjumlah RM19.2 juta.
Tambahnya, MINTRED juga telah memulakan fasa seterusnya dengan pembinaan lima lagi taman perindustrian di pusat pertumbuhan utama iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu meliputi kawasan pembangunan seluas 417 ekar.
"Lima taman perindustrian baharu ini berserta empat projek Anjung Usahawan baharu akan dilaksanakan melalui siling peruntukan yang diluluskan sebanyak RM139.1 juta," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Jaed Tepus