KMKK Sri Aman Sambut Baik Peningkatan Imbuhan Bulanan
SRI AMAN: Keputusan Kerajaan Sarawak menaikkan imbuhan bulanan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebanyak RM400 berkuat kuasa 1 Januari 2026 mendapat reaksi positif daripada golongan terbabit di sini.
Ketua Masyarakat Cina Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng berpendapat bahawa kenaikan terbabit secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam menghargai peranan besar kepimpinan akar umbi KMKK dalam negeri ini.
"Kenaikan imbuhan berkenaan berbaloi kerana KMKK selama ini menjadi tulang belakang kepada perpaduan, penyelesaian masalah setempat serta pembangunan komuniti dalam kalangan masyarakat Sarawak.
"Bagi saya, pengumuman oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berhubung kenaikan imbuhan terbabit pada Rabu minggu lepas amat dialu-alukan oleh saya termasuk KMKK di Sri Aman,"katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Tuai Rumah Hearold Ernest berpendapat, peningkatan imbuhan berkeaan membolehkan KMKK memberi tumpuan lebih besar terhadap tugas dan tanggungjawab kepada rakyat yang berada di bawah jagaan masing-masing.
Malah, kenaikan imbuhan terbabit katanya juga turut membolehkan KMKK bertindak melakukan tugas menjaga kebajikan rakyat, menyelaras program kerajaan serta memastikan setiap inisiatif pembangunan sampai kepada penduduk.
"Langkah ini juga mencerminkan pendekatan kerajaan Sarawak yang inklusif dan pro-rakyat selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk memperkukuh tadbir urus serta memperkasakan komuniti di seluruh Sarawak.
"Secara keseluruhannya, kenaikan imbuhan ini bukan sahaja satu pengiktirafan tetapi juga pelaburan dalam memastikan kepimpinan tempatan terus kuat, stabil dan efektif demi masa depan Sarawak," kata Hearold.
Datuk Patinggi Abang Zohari semasa pembentangan Rang Undang-Undang Pembekalan (2026) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu lepas mengumumkan kenaikan imbuhan bulanan KMKK sebanyak RM400 mulai 1 Januari 2026.-EDISI UKAS