DLP Sarawak Diperluas Ke Sekolah Menengah Bermula 2026
KUCHING: Dual Language Programme Sarawak (DLP Sarawak) bakal diperkukuh dengan peluasan ke sekolah menengah mulai 2026, sebagai langkah strategik kerajaan negeri melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata peluasan tersebut akan melibatkan semua pelajar Tingkatan 1 yang kemudiannya meneruskan pembelajaran dalam DLP Sarawak hingga ke Tingkatan 5.
“Bermula 2026, DLP Sarawak akan diperluaskan ke sekolah menengah, bermula dengan semua pelajar Tingkatan 1.
“Pelajar-pelajar ini akan meneruskan DLP Sarawak sehingga Tingkatan 5, di mana di peringkat menengah atas (Tingkatan 4 dan 5), subjek sains tulen seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan juga akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, DLP Sarawak yang mula diperkenalkan pada 2020 kini mempunyai penilaian khusus melalui pelaksanaan Ujian Penilaian-Dual Language Programme Sarawak (UP-DLPS) Tahun 6 yang telah dijalankan pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Beliau berkata, seramai 29,002 murid Tahun 6 dari 1,050 sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta yang melaksanakan DLP Sarawak telah menduduki kertas Matematik dan Bahasa Inggeris, manakala jumlah hampir sama iaitu kira-kira 29,000 murid menduduki kertas Sains.
Menurutnya, keputusan UP-DLPS 6 menunjukkan Bahasa Inggeris mencatat pencapaian tertinggi dengan kadar lulus 90.97 peratus, diikuti Sains pada 84.71 peratus dan Matematik terus menjadi cabaran utama dengan kadar lulus hanya 61.01 peratus, terutama di kawasan luar bandar dan Sekolah Kurang Murid (SKM).
Justeru, beliau menekankan keperluan intervensi segera dan bersasar memandangkan penguasaan Matematik dan Sains amat penting dalam usaha Sarawak melahirkan tenaga mahir dalam bidang STEM menjelang 2030.
Dalam hal ini, beliau menegaskan MEITD akan meneruskan campur tangan sekiranya perlu bagi memastikan hasil yang lebih baik pada tahun mendatang.-EDISI UKAS