TTG Bintulu & Miri Bakal Beroperasi Suku Pertama 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi golongan gelandangan apabila dua lagi Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Bintulu dan Miri bakal beroperasi pada suku pertama tahun 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembukaan dua pusat baharu itu akan melengkapkan rangkaian empat TTG di Sarawak selepas dua kemudahan di Kuching dan Sibu beroperasi sepenuhnya.
“Pembukaan TTG di Bintulu dan Miri pada suku pertama 2026 amat penting untuk memastikan kebajikan gelandangan di kawasan utara dan tengah Sarawak turut diberi perhatian.
"Kerajaan mahu memastikan tiada golongan rentan tercicir daripada sokongan sosial,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Sri Fatimah menambah, TTG baharu itu akan menyediakan kemudahan penempatan sementara, rawatan asas, intervensi sosial serta pemulihan berstruktur untuk membantu gelandangan kembali stabil dan berdikari.
Katanya, TTG Sibu telah menyantuni 223 gelandangan sejak 2022 dengan 91 peratus berjaya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat, manakala TTG Kuching yang bermula Julai 2025 telah memberi manfaat kepada 28 gelandangan melalui proses pemulihan berfasa.
“Model intervensi yang digunakan di TTG Sibu dan Kuching akan turut diterapkan di Bintulu dan Miri bagi memastikan keberkesanan program pemulihan,” tambahnya.
Dengan penambahan dua TTG baharu itu, Sarawak kekal komited memastikan setiap gelandangan diberi peluang untuk membina semula kehidupan melalui sokongan yang teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.-EDISI UKAS