Veteran Tentera, Pasukan Keselamatan Benteng Ancaman Era Baharu
KUCHING: Pengorbanan veteran angkatan tentera dan pasukan keselamatan kekal menjadi tunjang keamanan Sarawak dalam membentengi ancaman masa kini yang jauh lebih kompleks berbanding era pemberontakan komunis.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, masyarakat hari ini menikmati keamanan hasil perjuangan generasi terdahulu, tetapi musuh yang muncul kini bergerak dalam bentuk baharu yang tidak kelihatan.
“Dulu abang-abang bertempur di hutan, hari ini pertempuran berlaku di ruang terbuka musuh datang dalam bentuk dadah, jenayah, scam dan keruntuhan disiplin masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Sempena Hari Pahlawan di sebuah hotel di Kuching pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kini berhadapan musuh yang ‘bergerak dalam diam’, seperti penyalahgunaan dadah yang mendorong kepada pembunuhan sesama keluarga, serta kewujudan premis perjudian dalam talian yang merosakkan sosial masyarakat.
“Ini musuh zaman sekarang. Mereka menggunakan keamanan yang dihidangkan oleh para pahlawan, tetapi menyalahgunakannya sehingga menjadi ancaman kepada masyarakat sendiri,” ujarnya.
Justeru, Datuk Abdullah berharap persatuan veteran dapat memainkan peranan dalam membimbing generasi muda mengenai disiplin, patriotisme dan nilai kebangsaan.
Menutup ucapan, beliau menggesa masyarakat terutama golongan muda untuk tidak mensia-siakan keamanan yang dikecapi hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi (Dr.) Alfred Jabu Numpang, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak merangkap Pengerusi Swinburne University of Technology Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR), Lt. Kol (B) Mohd Melintang Abdullah serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie