Wariskan Legasi Perjuangan Kor Renjer Kepada Generasi Muda
KUCHING: Sokongan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap veteran tentera, khususnya Kor Renjer, menjadi pemangkin utama kepada usaha mendokumentasikan sejarah perjuangan pahlawan serta memperkasakan kebajikan anggota veteran di negeri ini.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR), Lt. Kol (B) Mohd Melintang Abdullah, berkata komitmen kerajaan negeri bersama para penyumbang dan rakan strategik sangat signifikan dalam memastikan legasi perjuangan Kor Renjer terus direkodkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kami amat menghargai kerajaan negeri, para penyumbang dan rakan strategik yang sentiasa memberi sokongan padu kepada usaha kami.
“Tanpa kerjasama ini, banyak sejarah besar perjuangan Kor Renjer mungkin hilang begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Sempena Hari Pahlawan di Imperial Hotel, pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Beliau menegaskan bahawa usaha merekodkan sejarah bukan sekadar dokumentasi, tetapi satu penghormatan kepada ribuan anak Sarawak yang majoritinya masyarakat Iban yang pernah menyertai Kor Renjer dan menabur bakti dalam operasi keselamatan di dalam dan luar negara.
“Ini bukan sekadar catatan sejarah. Ia adalah pengiktirafan kepada pengorbanan mereka yang pernah mempertahankan negeri dan negara, termasuk dalam operasi zaman darurat, pertempuran sempadan dan misi-misi keselamatan sehingga tahun 1990,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa sokongan kerajaan negeri telah membantu PVTKR meneruskan program kebajikan, termasuk inisiatif menyantuni veteran yang masih berdepan isu kesejahteraan.
Ujarnya, walaupun terdapat beberapa isu kebajikan tertunggak sejak 2013 yang memerlukan perhatian lanjut, kerjasama kerajaan negeri menjadi antara pendorong utama kepada usaha meringankan beban veteran Kor Renjer.
“Kami tidak meminta kemewahan. Cukuplah sekadar kebajikan asas dan perhatian sewajarnya agar veteran yang telah berkhidmat lebih dua dekad dapat menjalani kehidupan lebih stabil. Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri yang terus bersama kami,” tambahnya.
Majlis tersebut juga menyaksikan pelancaran dokumentari berkaitan sejarah pertempuran melibatkan Kor Renjer, yang dihasilkan melalui kerjasama beberapa badan dan organisasi bagi memastikan generasi muda memahami nilai pengorbanan pahlawan negara.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie