4 Syarikat Terima Anugerah Pengiktirafan Daripada KWSP Bintulu
BINTULU: Empat syarikat diumum sebagai penerima Anugerah Majikan Terbaik KWSP Bintulu 2025, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi mereka dalam memastikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat secara teratur dan berintegriti demi kepentingan pekerja.
Ketua Cawangan KWSP Bintulu, Ali Ding berkata, pemilihan pemenang dibuat mengikut tiga kategori saiz organisasi iaitu majikan besar (lebih 200 pekerja), majikan sederhana (50 hingga 199 pekerja) dan majikan kecil (1 hingga 49 pekerja).
Beliau menegaskan bahawa pematuhan caruman bukan hanya kewajipan di sisi undang-undang, malah mencerminkan kebertanggungjawaban sosial majikan dalam menjamin masa depan pekerja.
“Caruman KWSP menyediakan asas simpanan hari tua, perlindungan kewangan jangka panjang dan meningkatkan rasa penghargaan pekerja terhadap majikan mereka,” katanya pada Majlis Penghargaan Majikan Terbaik 2025 yang berlangsung di sebuah hotel pada Isnin.
Syarikat yang meraih anugerah tersebut ialah Jaymore Sdn Bhd, Medan Jaya Medical Clinic, Air-Marine Cargo Agency Sdn Bhd serta Daiken Sarawak Sdn Bhd.
Keempat-empatnya menonjol melalui rekod pematuhan caruman yang konsisten selain mewujudkan budaya kerja yang menitikberatkan kebajikan tenaga kerja.-EDISI UKAS