Majikan Diseru Perkasa Dasar Tempat Kerja Inklusif Tangani HIV di Bintulu
BINTULU: Majikan dan pihak industri diseru untuk memperkukuh dasar tempat kerja yang inklusif serta menyokong pekerja terkesan dengan HIV bagi mempertingkat respons kesihatan awam di daerah ini.
Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalinna Sulaiman berkata, tema sambutan Hari AIDS Sedunia tahun ini, ‘Overcoming Disruption, Transforming the AIDS Response’ menegaskan kepentingan kerjasama pelbagai sektor dalam memastikan usaha mencegah dan menangani HIV dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita memerlukan kerjasama berterusan antara penyedia perkhidmatan kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pihak industri bagi mewujudkan persekitaran kerja yang berinformasi dan bebas stigma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia di Hotel Promenade pada Isnin.
Menurutnya, program tahun ini memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan berkaitan pencegahan HIV, kepentingan diagnosis awal, pilihan rawatan dan usaha menghapuskan stigma, terutama di tempat kerja yang mempunyai pengaruh langsung terhadap keselamatan serta kesejahteraan pekerja.
Beliau menambah, majikan juga digalakkan mengguna pakai dasar yang menjamin keadilan, kerahsiaan dan akses kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang tepat bagi pekerja yang hidup dengan HIV.
“Melalui forum dan pameran yang dianjurkan, semua sektor berpeluang membina rangkaian kerjasama baharu serta meneroka peranan lebih aktif dalam program promosi kesihatan dan perlindungan pekerja,” katanya.
Tegas beliau, respons HIV yang kukuh hanya dapat dicapai melalui penyertaan berterusan kerajaan, hospital, pertubuhan masyarakat dan industri di Bintulu serta kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS