RM7.316 Bilion Bina 143 Projek Jambatan Di Seluruh Sarawak
KUCHING: Sarawak sedang giat melaksanakan projek pembinaan jambatan secara menyeluruh untuk meningkatkan keterhubungan di seluruh negeri dengan pelaburan sebanyak RM7.316 bilion bagi 143 projek.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek ini merangkumi 21 jambatan utama bernilai RM6.92 bilion, di samping Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) yang memperuntukkan RM396 juta bagi 122 projek jambatan luar bandar.
“Matlamat RBTP adalah untuk menggantikan jambatan kayu lama dan rosak dengan struktur konkrit bertetulang yang selamat dan moden serta membina laluan baharu di kawasan luar bandar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Setakat ini katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah berjaya menyiapkan lapan jambatan utama, iaitu Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Tun Taib Mahmud, Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Haji Othman, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Sungai Lingga, Jambatan Batang Kemena (Sebauh) serta Jambatan Datuk Amar Juma’ani.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas mendedahkan kerja-kerja baki bagi jambatan utama sedang berjalan mengikut jadual, di mana 10 jambatan sedang dalam pembinaan dengan sembilan jambatan dijangka siap pada tahun 2026, manakala tiga jambatan berada pada peringkat pra-kontrak.
“Bagi RBTP pula, status projek merangkumi 70 jambatan berada pada peringkat pra-kontrak, 30 jambatan berada pada peringkat tender dan 22 jambatan sedang dalam pembinaan,” jelas beliau lagi.
Beliau menegaskan, kesemua projek ini merupakan projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS