Penjawat Awam Sarawak Terima BKK Dua Bulan Gaji Pokok, Penjawat Awam Persekutuan Terima RM700
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji pokok mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2025 kepada penjawat awam negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembayaran BKK ini akan dibuat pada Disember 2025.
“Sebagai tanda penghargaan atas dedikasi yang ditunjukkan dan mengambil kira kenaikan gaji fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak tujuh peratus pada 1 Januari 2026, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji mengikut gaji pokok terakhir November 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan bahawa penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak juga akan menerima BKK sebanyak RM700 secara 'one off'.
“Kita juga tidak melupakan sumbangan rakan-rakan Perkhidmatan Awam Persekutuan. Oleh itu, saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sejumlah RM700 secara ‘one-off’ juga diberikan kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun 2025 ini.
“Bantuan Khas ini akan dibayar pada suku pertama Tahun 2026. Ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM98 juta,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak berharap kedua-dua insentif ini akan menjadi dorongan kepada warga perkhidmatan awam untuk terus memperkasa mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. -EDISI UKAS