Bantuan Kewangan RM500 Kepada Pesara Perkhidmatan Awam Sarawak, Pengamal Media Swasta RM700
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi bantuan kewangan kepada pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan pengamal media swasta di negeri ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan menerima RM500 seorang yang akan diberikan secara ‘one-off’, manakala insentif sebanyak RM700 secara ‘one-off’ kepada pengamal media swasta yang berdaftar setakat 1 Disember 2025 dengan enam persatuan media di Sarawak.
“Sebagai penghargaan terhadap jasa para pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Kerajaan GPS bersetuju memberikan bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM500 seorang, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM50 juta.
“Ini pertama kali kita memberi bantuan kepada orang pencen yang telah banyak berjasa kepada kerajaan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, sumbangan dan pengorbanan pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan berita secara profesional juga telah memberi impak besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri.
“Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Sarawak akan memberikan insentif ‘one-off’ sebanyak RM700 kepada pengamal media swasta yang berdaftar setakat 1 Disember 2025 dengan enam persatuan media di Sarawak,” jelasnya.-EDISI UKAS