Tender Projek Lebuhraya Trans Borneo Bakal Dianugerahkan Suku Pertama 2026
KUCHING: Tiga seksyen Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan jajaran Miri, Limbang dan Lawas disasarkan untuk ditender secara terbuka menjelang suku pertama 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah ini menandakan perkembangan signifikan dalam usaha mengukuhkan rangkaian pengangkutan utama di utara Sarawak.
Katanya, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) merupakan perjanjian perdagangan bebas yang melibatkan 12 negara anggota selaras dengan dasar Persekutuan di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, PK 1.3 – Klausa 5 bagi mana-mana perolehan kerja yang melebihi RM371.7 juta.
“Kerajaan turut melaporkan kemajuan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dengan Fasa 1 mencatatkan 62.73% kemajuan fizikal setakat Oktober 2025 dan dijangka siap pada 2027.
“Manakala, SSLR Fasa 2 pula telah bermula dan berada pada tahap 5%, dengan sasaran siap pada 2029,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambahnya, JKR Sarawak kini melaksanakan 121 projek jalan luar bandar, jambatan dan jalan Jiwa Murni bernilai RM7.92 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan 18 projek siap, 36 sedang dibina dan 67 lagi berada pada peringkat pra-kontrak.
Menurut beliau, keseluruhan inisiatif ini dijangka memperkukuh jaringan infrastruktur negeri, membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan akses penduduk luar bandar di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS