Program Gerakan Komuniti Berintergriti Perkukuh Nilai Kejujuran dan Kesejahteraan Masyarakat
BEKENU: Usaha memperkukuh nilai integriti dalam kalangan masyarakat terus diperkasa menerusi penganjuran Program Gerakan Komuniti Berintegriti “Keep Malaysia Clean” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Sibuti, Bekenu, pada Sabtu.
Program yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta itu menekankan kepentingan integriti sebagai asas kepada kesejahteraan komuniti serta pembangunan mampan negeri.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Dalam ucapannya dalam majlis tersebut pada Sabtu, beliau menegaskan bahawa integriti dan kesejahteraan komuniti merupakan elemen yang saling berkait rapat dalam membentuk masyarakat yang harmoni, selamat dan berdaya tahan.
“Integriti adalah tunjang utama dalam memastikan setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat. Tanpa kejujuran, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, pembangunan akan menjadi rapuh dan tidak berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) hanya dapat dicapai sekiranya nilai integriti terus diperkukuh bagi memastikan peruntukan disalurkan secara telus tanpa ketirisan.
Pada masa sama, beliau menyeru agar usaha memupuk integriti tidak hanya digalas oleh kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat khususnya di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, beliau memuji penglibatan mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak yang turun padang berinteraksi bersama komuniti, sekali gus mencerminkan semangat “Segulai Sejalai” dalam membina masa depan yang lebih baik.
Pelbagai aktiviti berimpak telah dianjurkan sepanjang program tersebut termasuk Wira Integriti Challenge yang melibatkan gotong-royong pembersihan kampung, penghasilan Mural Integriti sebagai simbol penolakan rasuah, serta pertandingan MasterChef AMAR yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat.
Selain itu, program turut diisi dengan sesi taklimat integriti dan anti dadah, serta latihan Fire Drill oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti.
Program anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), IPG Kampus Sarawak dan Angkatan Mahasiswa Antirasuah itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Pejabat Daerah Subis, Majlis Daerah Subis serta komuniti setempat.
Turut hadir, Pengarah SPRM Sarawak Dato Hasbilah Mohamad Salleh, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak Wan Ahmad Nidzam Wan Omar, Pengarah IPG Sarawak Dr Noraini Omar, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, ketua-ketua jabatan serta kepimpinan komuniti Kampung Kuala Sibuti.-EDISI UKAS