Pengurusan Sumber Berkesan Kunci Kestabilan dan Kemajuan Ekonomi Sarawak
KUCHING: Pengurusan sumber secara berkesan, berteraskan ilmu pengetahuan dan keadilan sosial menjadi faktor utama dalam memastikan kestabilan serta kemajuan ekonomi sesebuah wilayah.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekayaan sumber semula jadi sahaja tidak menjamin kemakmuran sekiranya tidak diurus dengan baik.
Menurutnya, terdapat negara yang kaya dengan sumber seperti minyak namun masih berdepan cabaran kemiskinan akibat kelemahan dalam pengurusan serta ketidakseimbangan agihan manfaat.
“Sumber ekonomi kita mantap tapi banyak negara yang ada sumber ekonomi yang mantap tetapi mereka berdepan kemiskinan tinggi. Lihat saja Nigeria dan Sudan, sumber ada tetapi rakyat masih miskin kerana pengurusan yang tidak berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Konvensyen GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Menjelas lanjut, dalam sidang media, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, pengurusan sumber yang baik perlu disokong dengan ilmu pengetahuan serta keadilan dalam memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan inklusif dalam pembangunan penting bagi mengelakkan jurang yang boleh menjejaskan kestabilan sosial.
“Tapi yang penting ialah masa depan anak kita. Jika ramai graduan tidak mendapat pekerjaan, kita perlu menyesuaikan ekonomi dengan kemahiran yang mereka miliki. Jika tidak, mereka akan mencari peluang di luar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan, termasuk dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain bidang profesional lain.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak, merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir & Cleve