Strategi Tenaga Baharu Perkukuh Daya Tahan Sarawak Hadapi Ketidaktentuan Global
KUCHING: Sarawak memperkukuh strategi tenaga baharu sebagai benteng daya tahan jangka panjang, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negeri dalam mendepani ketidaktentuan global terutama melibatkan turun naik harga bahan api.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kebergantungan kepada bahan api konvensional seperti diesel yang terdedah kepada tekanan geopolitik menuntut peralihan segera kepada sumber tenaga alternatif yang lebih stabil dan mampan.
Menurut beliau, kemajuan teknologi semasa turut mempercepatkan potensi tenaga hidrogen sebagai pilihan yang lebih kompetitif dan berdaya maju.
“Dengan harga diesel hari ini, pengeluaran hidrogen akan jauh lebih murah daripada diesel.
“Proses elektrolisis akan jauh lebih murah kerana membran baru dalam teknologi dan diesel ini dengan tekanan geopolitik sekarang, saya rasa ia tidak akan berakhir dalam era ini. Masalah akan muncul. Maksud saya, tenaga alternatif akan digunakan dan kita bernasib baik. Sarawak sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Tambah beliau, kesiapsiagaan tersebut turut diterjemahkan melalui peluasan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kawasan luar bandar, termasuk inisiatif tenaga solar di Baram yang sebelum ini bergantung kepada generator diesel.
Jelasnya, pelaksanaan Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) berasaskan tenaga solar bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membantu melindungi komuniti luar bandar daripada kesan kenaikan harga bahan api, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Turut hadir semasa sidang media itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Henry Harry Jinep, Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS