Sarawak Pacu Fasa Pembangunan Matang Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak kini memasuki fasa kritikal untuk melonjak ke tahap pembangunan lebih matang menjelang 2030, dengan tempoh lima tahun akan datang menjadi pemacu utama transformasi tersebut.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, tempoh berkenaan akan menjadi landasan penting untuk Sarawak beralih daripada pembangunan asas kepada kemajuan yang lebih menyeluruh.
“Dalam lima tahun akan datang, Sarawak mahu terus berkembang dan mencapai tahap kematangan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan semasa Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu menambah, agenda pembangunan infrastruktur akan terus diperkasa, khususnya dalam menangani isu asas yang masih membelenggu sebahagian rakyat.
“Selama ini, masih terdapat cabaran seperti bekalan air dan kemudahan jalan raya yang perlu ditambah baik. Dalam tempoh lima tahun akan datang, usaha akan diteruskan bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dengan lebih menyeluruh,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan fokus pembangunan Sarawak akan diperkembangkan melangkaui infrastruktur semata-mata, dengan penekanan kepada kemajuan yang lebih inklusif dan mampan.-EDISI UKAS