Enam Sekolah Di Bintulu Terima CSR Bintulu Port Holdings
BINTULU: Seramai 314 pelajar dari enam sekolah menengah di daerah ini menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bintulu Port Prihatin Back to School 2026 pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, program itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah selain memberi keyakinan kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun 2026 dengan lebih bersedia.
“Pada masa sama, ia mengukuhkan hubungan Bintulu Port dengan komuniti setempat melalui pelaksanaan program CSR yang berimpak tinggi.
“Usaha ini turut selari dengan aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia yang menekankan akses pendidikan berkualiti, peluang yang adil untuk semua, serta pembentukan insan yang seimbang dan holistik,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar, Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh semasa majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Foyer Wisma Kontena, Bintulu Port pada Khamis.
Bantuan tersebut meliputi beg sekolah, pakaian seragam dan peralatan tulis yang diagihkan kepada pelajar dari enam sekolah iaitu SMK Baru (50), SMK Kemena (50), SMK Asyakirin (64), SMK Bandar (50), SMK Kidurong (50) dan SMK Bintulu (50).
Beliau menambah, setiap pelajar yang menerima sumbangan mewakili harapan masa depan negara, justeru usaha membantu menyediakan keperluan asas pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan tiada pelajar tercicir.
BPHB turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, barisan guru serta jawatankuasa pelaksana yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program CSR berimpak tinggi tersebut.
Program Back to School merupakan inisiatif tahunan Bintulu Port yang menekankan hubungan komuniti dan sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan setempat.-EDISI UKAS