MRP Cerminkan Komitmen Kerajaan Perkasa Organisasi Tempatan
ASAJAYA: Peruntukan disalurkan melalui Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terus menjadi antara sokongan terpenting kerajaan bagi membolehkan organisasi tempatan menjalankan program bermanfaat untuk masyarakat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peruntukan ini bukan hanya bantuan kewangan, tetapi bentuk sokongan strategik kerajaan untuk memastikan pertubuhan, masjid, rumah ibadah, sekolah, kelab dan persatuan terus aktif merangka program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa setiap peruntukan yang disalurkan perlu diurus secara telus, berintegriti dan penuh akauntabiliti, dengan perancangan yang berfaedah supaya tidak timbul sebarang isu salah guna dana.
“Setiap aktiviti yang dilaksanakan perlu direkod dengan sempurna serta dilaporkan sama ada kepada Pejabat Daerah Asajaya atau Pusat Khidmat ADUN,” katanya semasa Majlis Penyerahan MRP ADUN Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya pada Khamis.
Dalam majlis itu, seramai 159 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid, surau, rumah ibadah, PIBG, tabika serta kelab dan persatuan menerima geran MRP berjumlah RM2,805,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menambah, penyerahan geran MRP ini sekali lagi mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyokong perpaduan komuniti, mengukuhkan organisasi akar umbi serta merancakkan penganjuran program yang merapatkan hubungan masyarakat di Asajaya.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Ketua Balai Polis Asajaya, Sjn. Mohd Ibrahim Abdullah, Tememggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang serta Pemanca Masyarakat Cina Daerah Asajaya, Jong Tze Ted.-EDISI UKAS
Dilaporkan oleh:
Mohd Noorhamizan Hamid
Mahazul Aqby Seruji
Muhammad Ridzwan Jemat
Charyssa Luta
UKAS Bahagian Samarahan